Positifkan Diri Membantu Dalam Meningkatkan Kualiti Hidup

Setiap orang pasti akan hadapi dugaan hidup yang mencabar. Kadang kala  dugaan dan ujian yang datang kepada kita bukan mudah untuk ditempuhi dengan  hati yang lapang dan rela. Kita sering menyalahkan takdir yang telah ditentukan kepada kita dan kita sering berfikir tidak adilnya hidup ini sebab kita yang perlu hadapinya dan bukan orang lain.

Sebenarnya dalam dunia ini tidak akan ada walaupun seorang yang akan terlepas daripada dugaan dan ujian. Mungkin ada yang kehidupannya memang beruntung dan hidupnya seperti fairytales dan tidak pernah mengalami masalah. Akan tetapi ketahuilah, mereka juga adalah manusia biasa. Bukan mudah untuk meneruskan hidup tanpa dibelengu masalah yang mendatang.

Hidup ini seperti roda. Ada masa kita akan berada diatas dan akan ada masa kita berada dibawah. Semaikan rasa bersyukur dengan apa yang diberikan kepada kita dan sentiasa berfikiran positif. Ini akan membuatkan kita berasa lebih tenang dan lebih mudah untuk menghadapi kehidupan yang akan mendatang.

Hidup ini juga umpama cermin. Apa yang kita pancarkan kepada orang lain, itulah yang akan pantul balik kepada kita dan ia melambangkan siapa diri kita yang sebenarnya. Ingatlah bahawa sentiasa berbuat baik  kepada orang lain kerana sikap yang positif sangat membantu dalam meningkatkan kualiti hidup yang baik dan sihat.

Untuk menjadi seorang yang sentiasa berfikiran positif bukan mudah. Tips dibawah mungkin dapat membantu anda untuk memulakan perubahan pada diri anda:


1. Sering membaca buku atau bahan bacaan di internet atau menonton video yang  positif

Aktiviti ini dapat membantu otak kita berfikir secara positif dan membantu menjadi lebih  kreatif. Malah dapat membantu menambah ilmu pengetahuan. Selain itu, dapat menjadikan perasaan kita lebih tenang dan mudah untuk mengawal emosi dan situasi yang mendatang. Selain buku, bahan bacaan dan video, anda juga boleh mendengar muzik yang anda gemari. Hal ini mampu menjadikan perasaan, emosi dan otak kita lebih positif dan ceria.


2. Berkawan dengan orang yang sentiasa bersikap dan berfikiran positif

Anda tahu rahsia orang-orang yang berjaya? Salah saut rahsia mereka adalah berkawan dengan orang yang sentiasa berfikiran terbuka dan mengamalkan gaya hidup yang positif. Hal ini sangat membantu untuk ke arah kehidupan yang lebih positif. kerana mereka mempunyai matlamat yang sama. Mereka juga mahu berjaya tidak kira bagaimana pun cabaran yang bakal datang. Bukan memberikan alasan sahaja untuk setiap masalah.

Orang-orang seperti ini sentiasa memberikan motivasi tanpa diminta. Kadang-kadang mereka memberikan sokongan dan semangat tanpa kita sedari. Mereka sentiasa menjadikan pengalaman lepas sebagai pengajaran dan petunjuk untuk masa hadapan.


3. Bermain bersama haiwan peliharaan

Tahukah anda bahawa haiwan peliharaan mampu menjadikan kualiti kehidupan dan  kesihatan anda menjadi lebih baik? Haiwan peliharaan juga dapat mengubah emosi dan perasaan anda serta memberikan aura positif ke dalam diri anda. Sama ada anda bujang ataupun sudah bekeluarga, haiwan peliharaan memang sangat diperlukan.

Anda juga boleh mengurangkan tanda-tanda kemurungan dan tekanan dalam hidup anda. Hal ini berlaku bila tubuh anda mengeluarkan oxytocin iaitu sejenis hormon yang berkaitan dengan perhubungan emosi yang boleh mengurangkan stress dan emosi akan menjadi lebih stabil.


4. Melakukan sesuatu yang anda suka seperti hobi

Mesti bila anda suka melakukan sesuatu atau anda melakukan hobi anda, anda pasti leka bukan ? Hal ini mampu mengurangkan pengaruh negatif terhadap anda. Selain itu, anda akan tenang dan berasa gembira dengan aura positif yang ada pada diri anda. Anda akan sibuk menguruskan hal yang anda suka dan dapat mengelakkan unsur negatif kerana anda sudah menjadikan diri anda fokus untuk ke arah positif.


5. Adakan waktu bersendirian atau pergi bercuti

Setiap orang memerlukan masa dan ruang untuk bersendirian. Betul tak? Kadang kala kita  memerlukan masa untuk menenangkan diri daripada segala yang sudah kerap kita lihat dan dengar. Jadi ambillah masa dan ruang sebanyak mungkin untuk diri anda. Pergilah bercuti ke destinasi yang dapat menenangkan anda.

Pada ketika ini, anda akan ada masa untuk muhasabah diri, mencari jalan penyelesaian untuk perkara yang menjadikan diri kita resah. Tidak perlu untuk salahkan diri sendiri, orang lain dan Maha Pencipta. Setiap apa yang berlaku dalam hidup kita ada hikmah yang disediakan. Sentiasa memaafkan diri sendiri dan orang lain serta sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan.


 

Jom jadikan diri kita lebih positif untuk kehidupan yang lebih produktif!


Disediakan oleh,
Syahida
Assistant Art Director


What's next?